Jumaat, 28 Januari 2022 | 10:31am
Pemain Amerika Syarikat Danielle Collins akan menentang pemain tuan rumah Ashleigh Barty pada final perseorangan wanita Terbuka Australia esok. - Foto AGENSI
Pemain Amerika Syarikat Danielle Collins akan menentang pemain tuan rumah Ashleigh Barty pada final perseorangan wanita Terbuka Australia esok. - Foto AGENSI

Collins tenang jumpa Barty

MELBOURNE: Pemain tenis Amerika Syarikat Danielle Collins berkata dia akan menganggap final Terbuka Australia menentang pemain tuan rumah Ashleigh Barty sebagai perlawanan di gelanggang awam berhampiran kediamannya di Florida.

Pemain 28 tahun itu menewaskan pemain Poland Iga Swiatek 6-4 6-1 pada aksi separuh akhir semalam untuk menempah pertemuan dengan Barty.

"Ketika di luar musim, itu yang saya lakukan setiap hari. Saya bermain di gelanggang awam berhampiran rumah saya, dan saya menghabiskan masa di gelanggang bersama teman lelaki berlatih menggunakan mesin bola.

"Bermain di gelanggang awam sesuatu yang amat saya nikmati. Ketika bermain di stadium ini, saya membayangkan saat-saat istimewa ketika di sana.

"Ia amat menenangkan apabila berfikir tentang bermain di gelanggang itu. Saya akan menggunakannya apabila bertemu Ash di gelanggang," kata Collins.

Pemain nombor satu dunia Barty akan menjadi pilihan utama untuk muncul pemain tempatan pertama memenangi Terbuka Australia dalam tempoh 44 tahun.

Juara Wimbledon itu menewaskan pemain Amerika Syarikat Madison Keys 6-1 6-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Kemenangan esok akan menjadikan Barty pemain tempatan pertama memenangi Terbuka Australia sejak Chris O'Neil pada tahun 1978. - REUTERS

Berita Harian X