Khamis, 27 Januari 2022 | 9:19pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan kepimpinan tertinggi BAM di Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir jaguh badminton negara, Lee Zii Jia (dua,kanan) dan Goh Jin Wei (kanan). - Foto BERNAMA.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden BAM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan kepimpinan tertinggi BAM di Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir jaguh badminton negara, Lee Zii Jia (dua,kanan) dan Goh Jin Wei (kanan). - Foto BERNAMA.

Isu Zii Jia, Jin Wei selesai - BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan badan induk itu bersetuju untuk membenarkan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei menyertai kejohanan antarabangsa sebagai pemain profesional.

Dalam satu kenyataan, hari ini, badan induk itu, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira rayuan yang dikemukakan pemain perseorangan lelaki dan wanita negar itu mengikut prosedur rasmi sebelum meencapai keputusan untuk melepaskan mereka.

"Zii Jia dan Jin Wei dilepaskan daripada kontrak masing-masing dengan BAM mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama," kata BAM dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut menyampaikan keputusan berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Penaung BAM, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

"BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan penaung atas minat mereka serta kebimbangan mereka dalam perkara ini," katanya.

Kedua-dua pemain berkenaan layak untuk mendaftar menyertai kejohanan antarabangsa berkuatkuasa serta-merta.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021 susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia menghantar surat rayuan kepada BAM pada Isnin manakala Jin Wei mengemukakan rayuan kelmarin.

Berita Harian X