Khamis, 27 Januari 2022 | 6:23pm
Gambar fail - Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.
Gambar fail - Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei.

Jin Wei dapat restu BAM jadi profesional

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei mengesahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memberi restu untuk dia meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

Bekas juara remaja dunia dua kali itu berterima kasih kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memahami situasi dialaminya dan sekali gus menyelesaikan kemelut yang melanda dengan badan induk berkenaan.

"Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih di atas semua sokongan dan tunjuk ajar daripada Tan Sri Norza, BAM, barisan jurulatih dan kakitangan sokongan sejak hari pertama saya menyertai skuad kebangsaan," katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas pertolongan mereka menyelesaikan isu dengan BAM itu.

"Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada semua di atas sokongan yang berterusan sepanjang kerjaya saya. Saya juga berharap anda semua akan terus menyokong BAM dan saya yang akan meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

"Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi mempromosikan badminton Malaysia di pentas antarabangsa bersama pemain badminton Malaysia yang lain. Kami akan berjuang bersama sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dan 31 Oktober 2021 susulan keputusannya mahu bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, Jin Wei pada kelmarin menghantar surat rayuan kepada BAM bagi menarik balik tindakan berkenaan. Terdahulu, bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara itu mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri dan Norza di Perdana Putra tengah hari tadi.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang sudah pun diberikan restu untuk bergerak secara profesional kelmarin selepas turut dikenakan tindakan sama seperti Jin Wei oleh BAM.

Berita Harian X