Khamis, 27 Januari 2022 | 3:50pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan Goh Jin Wei (kiri), Lee Zii Jia (dua kiri) dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan Goh Jin Wei (kiri), Lee Zii Jia (dua kiri) dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto ihsan Facebook Ismail Sabri Yaakob.

Kemelut BAM, Zii Jia, Jin Wei selesai - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemelut membabitkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei selesai selepas mengadakan pertemuan dengan semua pihak di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain timbalannya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Zii Jia yang juga perseorangan lelaki negara dan Jin Wei (perseorangan wanita negara).

"Perbincangan yang bermanfaat. Alhamdulillah semua selesai. Semoga sukan badminton negara terus cemerlang di pentas dunia dan Jalur Gemilang kembali berkibar di luar negara," kata Ismail Sabri menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya, hari ini.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021 susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia menghantar surat rayuan kepada BAM pada Isnin lalu susulan tindakan yang dikenakan itu dan sehari selepas itu BAM memutuskan untuk memberi restu untuk dia bergerak secara profesional.

Jin Wei juga sudah menghantar surat rayuan kelmarin dan BAM dilaporkan sedang meneliti perkara berkenaan.

Berita Harian X