Isnin, 24 Januari 2022 | 7:40pm
Ahmad Faizal (tengah) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia (dua dari kiri) dan Jin Wei (dua dari kanan).
Ahmad Faizal (tengah) mengadakan pertemuan dengan Zii Jia (dua dari kiri) dan Jin Wei (dua dari kanan).

Semangat Zii Jia masih teguh - Ahmad Faizal

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selesai mengadakan pertemuan secara tertutup dengan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei di sebuah lokasi di sini, petang tadi.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama sejam itu, Ahmad Faizal mendengar pandangan dan luahan kedua-dua pemain berkenaan selepas dikenakan tindakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak akan mendaftarkan mereka menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

"Saya berpeluang bertemu dengan Zii Jia hari ini dan mendengar sendiri pandangannya, apa yang pasti semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.

"Selagi kita semua sepakat demi kepentingan negara, kita boleh bergerak ke hadapan," kata Ahmad Faizal di Facebook miliknya.

Dalam pertemuan itu, Zii Jia turut ditemani kakaknya, Lee Zii Yi manakala Jin Wei hadir bersama Pengurus Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Sairul Amar Ayob.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Berita Harian X