Isnin, 24 Januari 2022 | 4:09pm
Misbun pernah melatih Zii Jia sebelum ini.
Misbun pernah melatih Zii Jia sebelum ini.

BAM tempat terbaik buat Zii Jia - Misbun

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia masih memerlukan bimbingan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah tempat terbaik untuk dia mengejar impiannya bagi bergelar jaguh dunia.

Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek, berkata adalah satu kerugian besar jika Zii Jia kekal dengan pendirian untuk bergerak secara profesional dan menerima keputusan BAM yang tidak akan mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Misbun yang pernah membimbing Zii Jia berkata, tempoh dua tahun tanpa sebarang kejohanan bukanlah sesuatu yang singkat dan sukar untuk pemain itu kembali mendapatkan prestasinya seperti sekarang.

"Di sini (BAM) semua ada, tidak perlu lagi fikir apa-apa, jadi sekarang ini terpulang kepada dia. Apa yang dimahukan sebenarnya.

"Zii Jia perlu berada di BAM kerana dia masih muda dan masih perlukan bimbingan supaya dapat sampai ke tahap lebih tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Misbun yang juga Pengarah Pembangunan Remaja BAM turut memberikan contoh bagaimana jaguh Jepun, Kento Momota bergelut untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas digantung selama setahun pada April 2016 oleh Persatuan Badminton Nippon kerana kesalahan berjudi di kasino haram.

"Dia (Momota) kena bermula dari bawah, begitu juga Zii Jia. Soalnya sekarang siapa yang hendak bantu dia ketika itu (dua tahun lagi)? Jika dia ada duit sekali pun, siapa yang hendak bantu dan 'pegang' dia," katanya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Berita Harian X