Ahad, 23 Januari 2022 | 8:15pm
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ketika bertemu pasangan tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala pada aksi final Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow. - Foto ihsan Facebook BAM.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ketika bertemu pasangan tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala pada aksi final Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow. - Foto ihsan Facebook BAM.

Malaysia rangkul dua gelaran badminton di India

KUALA LUMPUR: Malaysia merangkul dua gelaran juara dalam saingan Antarabangsa India Syed Modi menerusi kejayaan beregu lelaki dan wanita negara dalam aksi final, hari ini.

Beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun merekodkan gelaran pertama mereka tahun ini apabila menundukkan pasangan tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18, 21-15 dalam aksi final kejohanan yang berlangsung di Lucknow itu.

Tahun lalu, pasangan yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun itu berjaya meraih tiga gelaran di pentas antarabangsa menerusi kejayaan di Terbuka Ireland, Cabaran Antarabangsa Sepanyol dan Terbuka Poland.

Terdahulu, beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing turut meraih kejuaraan pertama bagi musim 2022 selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.

Pasangan muda negara itu tidak berdepan masalah apabila melakar kemenangan 21-12, 21-13 dalam aksi final yang berlangsung selama 32 minit.

Selaku juara, kedua-dua beregu negara itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$11,850 (RM49,610).

Berita Harian X