Ahad, 23 Januari 2022 | 7:10pm
Lian Ker (kiri) makan malam bersama Zii Jia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kota Bharu, malam tadi.
Lian Ker (kiri) makan malam bersama Zii Jia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kota Bharu, malam tadi.

Timbalan menteri yakin kemelut BAM, Zii Jia dapat diselesaikan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yakin kemelut yang melanda antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Zii Jia semalam, percaya akan `ada cahaya di hujung terowong' di sebalik kemelut berkenaan.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan pertemuan dengan BAM dan Zii Jia, esok.

"Kami nasihatkan semua pihak untuk bersabar dan biar kami selesaikan perkara ini demi kepentingan sukan negara dan semangat kesukanan. Kami yakin isu ini dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Ditanya mengenai 'mood' Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia ketika pertemuan mereka, Lian Ker, berkata: "Pada awalnya memang dia nampak tertekan, susah mahu senyum.

"Namun, selepas kami berbincang, dia sudah boleh senyum. Dia tertekan dengan pelbagai komen di media sosial berhubung isu ini.

"Jadi, saya harap isu ini akan reda dan kita jangan terlalu emosi. Kita akan selesaikan secara profesional demi kepentingan sukan negara dan semangat kesukanan," katanya.

Kelmarin, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Berita Harian X