IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia esok bagi menyelesaikan kemelut membabitkan kedua-dua pihak.
"Elok saya berbincang dengan mereka terlebih dahulu dan kita nak cari penyelesaian terbaik untuk kepentingan negara. Saya ingat pegawai saya sedang aturkan. Kalau tidak silap saya, esok pun ada perjumpaan tetapi saya tidak pasti dengan siapa, tetapi secepat mungkin," katanya selepas merasmikan program Seminar Digitalisasi Perniagaan di Hotel Casuarina Meru, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik.
Kelmarin, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata beberapa cadangan akan diutarakan dalam pertemuan itu nanti bagi mencari titik penyelesaian terbaik.
"Tentunya saya ada cadangan yang akan saya utarakan. Yang pentingnya, saya akan letakkan kepentingan sukan berkenaan dan imej negara di mata perlu kita jaga dengan baik. Kita hendak mencari titik pertemuan demi untuk kepentingan negara dan sukan badminton.
"Kita sama-sama doakan agar kedua-dua pihak menemui penyelesaian terbaik untuk negara," katanya.