Sabtu, 22 Januari 2022 | 8:50pm
Aksi pemain Poland, Iga Swiatek ketika berentap pemain Russia, Daria Kasatkina pada pusingan ketiga Terbuka Australia di Melbourne Park, Melbourne, Australia, hari ini. - Foto EPA.
Aksi pemain Poland, Iga Swiatek ketika berentap pemain Russia, Daria Kasatkina pada pusingan ketiga Terbuka Australia di Melbourne Park, Melbourne, Australia, hari ini. - Foto EPA.

Swiatek mara pusingan keempat Terbuka Australia

MELBOURNE: Iga Swiatek memperaga aksi penuh bertenaga untuk membuktikan kredibilitinya di Terbuka Australia apabila menang dalam permainan terus ke atas pemain yang sedang berada pada prestasi terbaik, Daria Kasatkina sekali gus mara ke pusingan keempat.

Pilihan ketujuh yang memenangi Terbuka Perancis 2020 pada usia 19 tahun, memerlukan 94 minit untuk menewaskan pemain nombor 25 dunia itu, 6-2, 6-3 di Margaret Court Arena.

Swiatek yang memenangi gelaran di Adelaide dan Rom tahun lalu akan menentang sama ada pilihan ke-10, Anastasia Pavlyuchenkova atau pun pemain bukan pilihan dari Romania, Sorana Cirstea bagi tiket ke suku akhir.

"Ia perlawanan yang sangat sengit. Sangat sukar untuk mengejar setiap bola dan mendapatkan mata dari Daria.

"Pukulan 'top spinnya' sangat hebat...saya cuba bermain bola rendah supaya dia tidak dapat melakukan pukulan sebegitu tetapi ia sukar.

"Apa yang penting adalah siapa yang meletakkan bola terakhir ke gelanggang lawan kerana rali amat panjang."

Kedua dua pemain bermain rali panjang, namun Swiatek berjaya menyerap asakan Kasatkina di 'baseline' dan mematahkan servis lawan untuk terus mendahului.

Ketika dia mengawal permainan, Swiatek melakukan pukulan balas untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada set kedua, namun Kasatkina enggan mengalah apabila terus memberikan tekanan kepada Swiatek.

Setiap permainan menjadi aksi yang sengit sebelum Swiatek mengesahkan kemenangan pada set kedua.

Keputusan pusingan ketiga:

Lelaki -

Alex De Minaur (AUS x32) mn Pablo Andujar (ESP) 6-4, 6-4, 6-2

Jannik Sinner (ITA x11) mn Taro Daniel (JPN) 6-4, 1-6, 6-3, 6-1

Taylor Fritz (USA x20) mn Roberto Bautista Agut (ESP x15) 6-0, 3-6, 3-6, 6-4, 6-3

Stefanos Tsitsipas (GRE x4) mn Benoit Paire (FRA) 6-3, 7-5, 6-7 (2/7), 6-4

Felix Auger-Aliassime (CAN x9) mn Daniel Evans (GBR x24) 6-4, 6-1, 6-1

Maxime Cressy (USA) mn Christopher O'Connell (AUS) 6-2, 6-7 (6/8), 6-3, 6-2

Daniil Medvedev (RUS x2) mn Botic van de Zandschulp (NED) 6-4, 6-4, 6-2

Wanita -

Danielle Collins (USA x27) mn Clara Tauson (DEN) 4-6, 6-4, 7-5

Elise Mertens (BEL x19) mn Shuai Zhang (CHN) 6-2, 6-2

Simona Halep (ROM x14) mn Danka Kovinic (MNE) 6-2, 6-1

Alize Cornet (FRA) mn Tamara Zidansek (SLO x29) 4-6, 6-4, 6-2

Iga Swiatek (POL x7) mn Darya Kasatkina (RUS x25) 6-2, 6-3

Kaia Kanepi (EST) mn Maddison Inglis (AUS) 2-6, 6-2, 6-0

Aryna Sabalenka (BLR x2) mn Marketa Vondrousova (CZE x31) 4-6, 6-3, 6-1

- AFP

Berita Harian X