Sabtu, 22 Januari 2022 | 3:11pm
Datuk Lee Chong Wei menerusi akaun ruangan InstaStory miliknya berharap isu badminton negara diselesaikan segera.
Datuk Lee Chong Wei menerusi akaun ruangan InstaStory miliknya berharap isu badminton negara diselesaikan segera.

Chong Wei harap isu badminton negara diselesaikan segera

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei berharap isu hangat yang melanda sukan badminton negara ketika ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus namun ia dipercayai ada kaitan dengan tindakan dikenakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke atas pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

"Saya berharap isu hangat mengelilingi arena badminton Malaysia kebelakangan ini akan selesai secepat mungkin. Tiada pihak yang menang jika dibiarkan berterusan," kata Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali menerusi akaun ruangan InstaStory miliknya.

Semalam, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia dan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022 dan 31 Oktober 2021.

Ia susulan keputusan kedua-dua pemain berkenaan yang mahu meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional.

Sebagai rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Berita Harian X