Jumaat, 21 Januari 2022 | 9:12pm
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Menteri mahu jumpa BAM, Zii Jia

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia dalam masa terdekat berhubung peletakan jawatan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu.

Katanya, kedua-dua pihak perlu cuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian berhubung isu berkenaan.

"Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Pada hemat saya isu di antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

"BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat.

"Kita tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan pemain dan kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa," katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari.

Ia susulan keputusan juara pemain nombor tujuh dunia itu yang mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan yang dihantarnya pada 11 Januari lalu.

Berita Harian X