Jumaat, 21 Januari 2022 | 5:05pm
Gambar fail - Lee Zii Jia ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Lee Zii Jia ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Foto BERNAMA

Zii Jia tak didaftar sertai kejohanan 2 tahun

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa membayar harga yang tinggi susulan keputusannya menarik diri daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila badan induk itu memutuskan untuk tidak mendaftarkan dia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 18 Januari.

Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata selepas menerima surat peletakan jawatan daripada pemain berusia 23 tahun itu pada 11 Januari lalu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memujuk Zii Jia mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Bagaimanapun, katanya, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia kekal dengan pendiriannya dan memberikan dua alasan iaitu dia tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dalam skuad kebangsaan selain gaya hidup yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Ketika dalam salah satu perbincangan bersama jawatankuasa, Zii Jia meletakkan syarat baru bagi meneruskan kerjayanya bersama BAM. Selepas perbincangan panjang dilakukan, BAM memutuskan untuk menolak syarat berkenaan.

"Antara syarat yang diletakkan Zii Jia adalah untuk mempunyai barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan yang mahu disertainya sendiri dan untuk mempunyai penaja sendiri.

"Bagi menghargai bakat dimilikinya yang diasah BAM sejak 11 tahun lalu, BAM menawarkan insentif lumayan termasuk pembayaran wang tunai. Bagaimanapun, Zii Jia menolak tawaran berkenaan.

"Selepas perbincangan secara menyeluruh dilakukan, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari," katanya dalam satu sidang media di ABM di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Sebagai rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, BAM turut memutuskan untuk tidak mendaftarkan bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa berkuatkuasa 31 Oktober 2021.

Jahaberdeen, berkata selepas Jin Wei yang juga bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara menyatakan hasrat untuk bersara, BAM memujuknya untuk mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

"Pada 3 September dia menyatakan hasrat untuk bersara terus atas alasan masalah kesihatan. Dia menghantar surat peletakan jawatannya pada 11 September.

"Pada 23 Disember, Jin Wei bersama Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Pulau Pinang, Leong Kin Weng bertemu dengan Kenny bagi membincangkan peluang untuk kembali bersama skuad kebangsaan selepas tahap kesihatannya semakin pulih.

"Kenny memaklumkan kepada Jin Wei yang BAM mahu membantunya kerana dia memiliki bakat dan BAM sudah membuat pelaburan sejak dia berusia 14 tahun.

"Pertemuan itu positif dengan Jin Wei mengatakan dia serius kembali bersama skuad kebangsaan tetapi hanya akan beraksi dalam acara beregu campuran disebabkan faktor kesihatan.

"Pada 2 Januari, menerusi saluran Youtube miliknya, dia mengumumkan untuk menjadi pemain bebas," katanya.

Bagaimanapun, Jahaberdeen memberitahu kedua-dua pemain berkenaan masih boleh mengemukakan rayuan terhadap tindakan yang diambil itu.

Berita Harian X