Khamis, 20 Januari 2022 | 8:41pm
Lee Zii Jia pada sidang media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.
Lee Zii Jia pada sidang media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad.

Bukan kerana wang, tapi ada sebab lain tinggalkan BAM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan keputusannya untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 11 Januari lalu, bukanlah disebabkan faktor wang.

Juara Seluruh England 2020 berusia 23 tahun itu mengakui BAM memiliki fasiliti terbaik untuk dia meneruskan kerjayanya tetapi ada satu sebab yang tidak dapat didedahkan ketika ini yang mempengaruhinya membuat keputusan untuk bergerak secara profesional.

Zii Jia yang ketika ini menghuni ranking nombor tujuh dunia, berkata dia akan memberi penjelasan sepenuhnya berhubung perkara berkenaan selepas BAM membuat pengumuman mengenai peletakan jawatannya sebagai pemain kebangsaan.

"Saya tahu banyak orang cakap yang saya dapat tawaran lumayan di luar dan mungkin disebabkan duit saya keluar BAM. Saya tidak boleh menghalang apa orang mahu cakap kerana mereka ada fikiran mereka sendiri dan saya pun ada pendirian saya.

"Ia bukan keputusan yang mudah, saya mengambil masa yang lama memikirkan mengenai perkara ini. Saya harap BAM akan memberi restu kepada saya (bergerak secara profesional).

"Saya akan beri penjelasan sepenuhnya mengenai semua ini selepas BAM umum keputusan mereka," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Semalam, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia pada 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, keputusan sama ada BAM menerima atau sebaliknya peletakan jawatan berkenaan hanya akan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu media yang akan diadakan, esok.

Zii Jia yang juga juara Terbuka Taiwan 2018, berkata dia sedar dengan cabaran yang bakal dihadapinya sebaik memutuskan untuk bergerak secara profesional.

"Saya ada kawan seperti Lai Pei Jing (pemain beregu campuran profesional). Dia ada kongsikan mengenai kesukaran untuk mencari penaja di luar. Saya tahu BAM ada fasiliti terbaik dan seperti saya katakan ini bukan keputusan yang mudah.

"Ada satu sebab yang saya tidak boleh cakap sekarang tetapi ia bukan disebabkan duit. Apa pun, kita tunggu dulu pengumuman daripada BAM dan selepas itu saya akan beri penjelasan," katanya yang dibimbing jurulatih, Hendrawan.

Ditanya mengenai pandangan Hendrawan berhubung keputusannya itu, pemain kelahiran Alor Setar itu, berkata: "Memang saya bincang dengan barisan jurulatih tetapi saya tidak mahu libatkan mereka dalam hal ini. Apa yang saya harapkan adalah restu daripada mereka," katanya.

Berita Harian X