Khamis, 20 Januari 2022 | 8:12pm
Gambar fail - Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia. - Foto NSTP
Gambar fail - Datuk Lee Chong Wei (kiri) dan Lee Zii Jia. - Foto NSTP

'BAM tempat terbaik pemain kembang kerjaya'

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berpandangan dengan segala kemudahan dimiliki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ia adalah tempat terbaik buat mana-mana pemain untuk mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat tertinggi.

Chong Wei, 38, berkata disebabkan faktor itulah dia kekal setia selama 19 tahun bersama BAM yang menyaksikan dia meraih pelbagai kejuaraan termasuk memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Katanya, Lee Zii Jia ada bertemu dengannya bagi meminta pandangan berhubung keputusan untuk meninggalkan BAM dan dia berkongsikan pengalaman sepanjang kerjayanya sebagai pemain badan induk itu sebelum bersara pada 2019.

"Saya berkongsi pengalaman saya dengan dia (Zii Jia) termasuklah sebab saya kekal di BAM sehingga saya bersara. Saya minta dia untuk fikir secara mendalam berhubung keputusannya.

"Saya cakap kepada dia, dengan segala fasiliti yang BAM ada, saya beritahu skuad kebangsaan adalah lebih baik. Saya tidak tahu jika dia ada masalah dengan BAM kerana dia pun tidak cerita dan saya pun tidak tanya.

"Saya akui sepanjang saya dengan BAM, bukan semua perkara saya betul dan begitu juga dengan BAM. Namun, apa yang paling penting adalah komunikasi dan perlu ada sikap tolak ansur.

"Saya memang tidak ada masalah besar dengan BAM, kalau ada kita duduk bincang untuk cari penyelesaian. Dalam hal ini, saya tidak menyebelahi mana-mana pihak cuma saya kongsikan pandangan saya.

"Lagipun, ketika Zii Jia datang berjumpa saya, dia sudah pun buat keputusan. Jadi, saya hanya kongsikan pandangan saya," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan induk itu ada menerima surat peletakan jawatan daripada Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia pada 11 Januari lalu.

Bagaimanapun, keputusan sama ada BAM menerima atau sebaliknya peletakan jawatan berkenaan hanya akan diumumkan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam satu media yang akan diadakan, esok.

Dalam pada itu, Chong Wei, berkata Zii Jia memberitahu yang salah satu faktor dia mahu meninggalkan BAM adalah disebabkan tekanan yang dihadapinya.

"Saya cakap kalau dia mahu jadi pemain nombor satu dunia dan negara, dia perlu berdepan dengan tekanan. Kalau tidak boleh tahan dengan tekanan, itu bukan pemain.

"Saya juga beritahu adakah dia rasa jika dia berada di luar (bergerak secara profesional), dia tidak akan hadapi tekanan, saya fikir tekanan itu lebih tinggi.

"Namun, dia sudah buat keputusan dan saya tidak mahu mempengaruhi dirinya. Dia sudah ada perancangan dia sendiri dan saya ucapkan selamat maju jaya untuk dia," kata Chong Wei.

Berita Harian X