Selasa, 28 Disember 2021 | 8:11pm
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

BAM rombak tugas Choong Hann, Rexy

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merombak semula struktur kejurulatihan bagi memantapkan prestasi pemain dengan sasaran utama mereka mengungguli saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand tahun depan.

Dalam sidang media yang dianjurkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, bahagian perseorangan akan dikendalikan Wong Choong Hann manakala kem beregu akan diketuai Rexy Mainaky.

Sebelum ini, Choong Hann memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan BAM, manakala Rexy adalah penolongnya.

Kata Kenny, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang diadakan secara maya selepas mendengar laporan daripada ketua jurulatih mengenai prestasi pemain sejak tiga bulan lalu di Eropah dan Bali, Indonesia.

"Kami membuat penilaian kendiri mengenai apakah kekuatan dan kelemahan kami serta apakah peluang dan laluan daripada sudut dunia badminton yang ada.

"Dari situ, kami putuskan untuk mengatasi semua kelemahan ini dan melangkah ke hadapan. Kami membahagikan struktur ini. Sekiranya dulu banyak peringkat, daripada ketua jurulatih dan perlu lapor kepada pengarah kejurulatihan.

"Kami kecilkan di mana hanya ada dua bahagian saja iaitu perseorangan dan beregu. Bahagian beregu diketuai Rexy manakala perseorangan adalah Choong Hann.

"Jadi kedua-dua (individu) ini akan melihat keseluruhan struktur dan mereka akan merancang dan memutuskan siapa akan melatih siapa dan membuat rumusan mengenai jurulatih dan pemain.

"Mereka sepatutnya membuat rumusan di penghujung tahun tetapi dengan kemasukan Rexy, maka kita bersetuju untuk memberikan sedikit masa kepadanya. Kita akan memberikan satu bulan lagi untuknya dan selepas itu akan membuat rumusan mengenai jurulatih dan pemain secara bersama," kata Kenny dalam sidang media itu.

Dalam pada itu, Kenny berkata, pihaknya sedar dengan jadual padat pada tahun depan dengan penganjuran beberapa temasya besar seperti Sukan Asia di Hangzhou, China, Sukan Komanwel (Birmingham), Sukan SEA (Vietnam) dan juga Piala Thomas.

"Kita mahu memahami sasaran utama. Tahun depan banyak temasya dan kejohanan besar, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Piala Thomas. Salah satu sasaran utama kita adalah Piala Thomas 2022," katanya.

Berita Harian X