Sabtu, 11 Disember 2021 | 8:36pm
Gambar fail - Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin. - Foto NSTP/Osman Adnan.
Gambar fail - Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin. - Foto NSTP/Osman Adnan.

Emas bukan jaminan menang di Birmingham

KUALA LUMPUR: Walaupun dua atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menamatkan saingan kelayakan Sukan Komanwel 2022 di kedudukan pertama dalam kategori masing-masing, ia bukan jaminan pingat emas temasya di Birmingham itu akan menjadi milik mereka.

Jurulatih negara, Naharudin Mahayudin berkata masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan kedua-dua atlet berkenaan bagi memperbaiki angkatan masing-masing.

"Saya lihat dari segi angkatan, masih lagi kurang. Untuk kita mensasarkan pingat emas di Sukan Komanwel, atlet perlu bekerja lebih keras lagi. Mereka tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian kali ini.

"Kalau kita lihat, angkatan Aniq tidak jauh beza dengan atlet India. Angkatan lawannya itu tidak menjadi ketika hari pertandingan.

"Kedua-dua atlet perlu lebih fokus bagi memperbaiki kelemahan mereka apabila kembali ke Malaysia kerana Sukan Komanwel hanya beberapa bulan lagi. Kalau ikutkan mereka sebenarnya dalam zon bahaya dari segi angkatan," kata Naharudin kepada BH Sukan.

Terdahulu, Aniq, 19, yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg) meraih emas kelayakan ke Sukan Komanwel yang diadakan serentak dengan Kejohanan Dunia di Uzbekistan, Rabu lalu apabila melakukan angkatan 107kg bagi kategori snatch dan 142 bagi kategori clean and jerk dengan jumlah angkatan keseluruhan 249kg.

Malah angkatan dilakukan Aniq itu turut memecahkan rekod kebangsaan sebelum ini iaitu 248kg selain membawa pulang pingat perak bagi kategori clean and jerk dalam kejohanan dunia berkenaan.

Aznil turut mengikut jejak langkah Aniq apabila mengungguli saingan kelayakan dalam kategori 61kg selepas berjaya mengangkat 120kg bagi kategori snatch dan 153 kg bagi kategori clean and jerk dengan jumlah angkatan keseluruhan 273kg.

Pencapaian kedua-dua atlet berkenaan menyaksikan mereka layak secara automatik ke Sukan Komanwel di Birmingham yang dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat yang beraksi dalam kategori 71kg perlu menunggu sehingga Februari tahun depan bagi mengesahkan slot ke Birmingham selepas menamatkan saingan kelayakan kali ini di kedudukan kedua.

Erry masih berpeluang untuk layak sekiranya dia berjaya meraih emas pada Kejuaraan Komanwel yang akan diadakan di Singapura.

Berita Harian X