Rabu, 8 Disember 2021 | 8:00pm
Pearly kemungkinan akan digandingkan bersama Peng Soon.
Pearly kemungkinan akan digandingkan bersama Peng Soon.

Pearly pasangan baharu Peng Soon?

KUALA LUMPUR: Selepas Chan Peng Soon disahkan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, persoalan kini timbul mengenai siapa pasangan sesuai untuk digandingkan dengan pemain beregu campuran berpengalaman itu.

Ketika pemain berusia 33 tahun itu tekad untuk beraksi sehingga Sukan Olimpik Paris 2024, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mencari gandingan paling ideal dalam kalangan pemain muda negara bagi merealisasikan impian Peng Soon.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Paulus Firman yang mengalu-alukan kemasukan semula Peng Soon ke kem skuad kebangsaan, berkata kemungkinan besar pemain beregu wanita akan digandingkan dengan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu.

"Kemasukan semula Peng Soon adalah sesuatu yang positif kerana dia boleh memainkan peranan sebagai mentor kepada pemain muda kita. Dia boleh berkongsi pengalaman luasnya dengan pemain lain.

"Sekarang ini, kita perlu mencari pasangan yang tepat untuk Peng Soon. Calon-calonnya mungkin daripada skuad beregu wanita," katanya kepada BH Sukan.

Dalam pada itu, berita kepulangan semula Peng Soon ke skuad kebangsaan turut disambut baik peminat badminton tempatan dengan rata-rata mereka mahu menyaksikan pemain itu digandingkan dengan Pearly Tan.

Pearly, 21, ketika ini menunjukkan peningkatan prestasi yang positif bersama pasangannya M Thinaah dalam acara beregu wanita.

Pasangan itu mencipta sensasi apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Sebelum itu, mereka turut muncul juara dalam Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan India selain Siri Antarabangsa Malaysia.

Beberapa keputusan positif yang dilakar dalam kejohanan Jelajah Dunia menyaksikan pasangan ranking ke-16 dunia itu layak beraksi buat kali pertama dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia minggu lalu tetapi terkandas di peringkat kumpulan.

Isnin lalu, Peng Soon mengumumkan perpisahan dengan pasangannya Goh Liu Ying dan memaklumkan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia yang berakhir, Ahad lalu adalah kejohanan terakhir mereka sebagai gandingan.

Peng Soon-Liu Ying yang mula bergandingan pada 2009 berjaya meraih 12 gelaran juara di pentas antarabangsa termasuklah pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Sepanjang bersama, mereka pernah berada di kedudukan ranking nombor tiga dunia pada 2013 - terbaik dalam kerjaya mereka.

Berita Harian X