Khamis, 2 Disember 2021 | 8:27pm
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan Facebook BAM
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto ihsan Facebook BAM

Aaron-Wooi Yik waspada meskipun terima undian mudah

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap berwaspada biarpun dianggap menerima undian mudah di pusingan awal Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol bermula 12 hingga 19 Disember ini.

Ujian sebenar buat pasanan ranking nombor tujuh dunia itu dijangka hanya bermula di suku akhir.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan itu mendapat bye di pusingan pertama dan dijangka bertemu beregu China, Ou Xuan Yi-Zhang Nan di pusingan kedua.

"Mungkin antara semua, undian kami boleh dikatakan tidak sukar dan bukan mudah. Kami tidak boleh memandang mudah kemampuan Ou Xuan-Zhang Nan.

"Malah, jika mara ke pusingan ketiga, kami akan bertemu satu lagi pasangan China iaitu He Ji Ting-Tan Qiang. Bukan mudah sebenarnya untuk bertemu pasangan dari China. Kami perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan," kata Aaron yang ketika ini melakukan persiapan di Bali, Indonesia bersama Wooi Yik.

Sebagai rekod, pemain China, Zhang Nan memenangi pingat emas Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Fu Haifeng dan turut muncul juara Olimpik London 2012 dalam acara beregu campuran bersama Zhao Yunlei.

Jika mara ke suku akhir, Aaron-Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 dijangka bertemu pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di suku akhir.

Fajar-Rian Ardianto diramal bertemu pasangan profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di pusingan ketiga. Dua lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut akan membawa cabaran negara di Huelva.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia turut boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengelak daripada bertemu pemain utama dunia di pusingan awal.

Juara Seluruh England 2021 itu akan membuka tirai kempen di Huelva menentang pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue dan ujian sebenar buat Zii Jia dijangka hadir di pusingan ketiga apabila dia diramal bertemu sama ada Kanta Tsuneyama dari Jepun atau pemain berpengalaman Denmark, Hans Kristian Solberg Vittinghus.

Jika mara ke suku akhir, Zii Jia dijangka membuat perhitungan dengan pemain nombor tiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen dengan juara Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menantinya andai kedua-dua layak ke separuh akhir.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei yang meninggalkan skuad kebangsaan baru-baru ini turut layak beraksi di Kejohanan Dunia tahun ini dan akan membuka tirai saingan menentang pilihan ke-15 dari Jepun, Kenta Nishimoto.

Berita Harian X