Sabtu, 25 September 2021 | 8:49pm
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini. - Foto AFP.
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini. - Foto AFP.

Malaysia 'wajib' kutip 3 mata awal jumpa England

KUALA LUMPUR: Malaysia 'wajib' mengutip mata dalam acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu lelaki bagi menumbangkan England dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Sudirman di Vantaa, Finland, Isnin ini.

Atas kertas, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka tidak berdepan masalah merealisasikan matlamat itu apabila dilihat memiliki kelebihan berdasarkan kedudukan ranking dunia yang lebih tinggi berbanding lawan mereka.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 dijangka berdepan pemain ranking ke-202 dunia, Johnnie Torjussen manakala Kisona yang kali pertama menggalas tugas perseorangan wanita utama diramal bertemu Chloe Birch sementara Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan menentang Ben Lane-Sean Vendy.

Ketiga-tiga wakil negara itu belum pernah bertemu dengan lawan masing-masing sebelum ini.

Malaysia dijangka menurunkan beregu muda wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang diramal bertemu Chloe-Lauren Smith manakala Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dijangka menjadi pertaruhan dalam acara beregu campuran dan hampir pasti berdepan pasangan nombor tujuh dunia, Marcus Ellis-Lauren.

Aaron berkata dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memulakan cabaran pada kempen Piala Sudirman kali ini dan menyifatkan pertemuan dengan England cukup penting dengan kemenangan akan mencerahkan laluan ke suku akhir.

"Saya fikir peluang adalah seimbang untuk kedua-dua pasukan mencatat kemenangan. Namun, tidak dinafikan kita ada sedikit kelebihan berdasarkan prestasi semasa.

"Apa pun, kami perlu fokus dan buat persiapan terbaik untuk perlawanan pertama dengan England. Yang pasti, semua pemain berada pada tahap terbaik dan sedia untuk memulakan aksi" kata Aaron yang kini menghuni ranking nombor lapan dunia bersama Wooi Yik.

Selepas aksi bertemu England, Malaysia akan bertemu Mesir pada Selasa sebelum mengakhiri saingan kumpulan bertemu Jepun pada Khamis. Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Berita Harian X