Ahad, 19 September 2021 | 7:03pm
Gambar fail - Lee Meng Yean (kanan) ketika bergandingan dengan Chow Mei Kuan pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini.
Gambar fail - Lee Meng Yean (kanan) ketika bergandingan dengan Chow Mei Kuan pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini.

Bukan penamat kerjaya

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean menyifatkan kehilangan rakan gandingannya, Chow Mei Kuan bukanlah pengakhiran dalam kerjayanya sebaliknya ia memberi cabaran baharu selain peluang untuk berkongsi ilmu dengan pemain muda.

Selepas 10 tahun bersama Meng Yean, Mei Kuan mengumumkan persaraannya bulan lalu dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah penampilan terakhir mereka sebagai pasangan di pentas antarabangsa.

Meng Yean ketika ini sedang menjalankan 'eksperimen' bagi membentuk kombinasi baharu dengan pemain muda sebagai gandingan tetap.

Pemain berusia 27 tahun itu, berkata bagi kempen Piala Uber di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini, dia akan bergandingan dengan pemain muda, Go Pei Kee manakala bagi saingan Terbuka Denmark dan Perancis selepas itu dia akan berpasangan dengan Yap Cheng Wen.

"Walaupun tidak lagi bergandingan dengan Mei Kuan, saya percaya masih boleh meningkatkan lagi prestasi saya. Ini akan menjadi cabaran baharu kepada saya dan yakin ini juga dapat membantu perkembangan kerjaya saya.

"Saya mahu gunakan peluang ini membimbing pemain muda yang mana ia juga satu daripada perkara diminta oleh jurulatih. Saya akan bantu pemain muda sebaik mungkin," katanya. Sepanjang bergandingan, Meng Yean-Mei Kuan pernah meraih beberapa gelaran antarabangsa dan menduduki ranking ke-10 dunia.

Meng Yean, berkata dia masih bersemangat untuk mengulangi pencapaian itu bersama gandingan baharu nanti.

"Apa yang paling penting sekarang adalah mendapatkan gandingan tetap secepat mungkin. Selepas itu, saya percaya dalam kembali dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya.

Berita Harian X