Sabtu, 18 September 2021 | 5:14pm
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada kapten pasukan badminton Piala Thomas Lee Zii Jia (dua, kanan) ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
 Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan). - FOTO BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan Jalur Gemilang kepada kapten pasukan badminton Piala Thomas Lee Zii Jia (dua, kanan) ketika melawat ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
 Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan). - FOTO BERNAMA

Zii Jia ambil alih tugas Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei cukup sinonim dengan peranan sebagai pemain perseorangan pertama setiap kali skuad negara beraksi dalam kempen Piala Thomas sejak 12 tahun lalu.

Chong Wei mula memikul tugas berkenaan pada edisi 2006 di Tokyo, Jepun sehinggalah 2018 di Bangkok, Thailand.

Sepanjang tempoh itu, dia boleh dianggap konsisten menyumbang mata pertama buat skuad negara yang disifatkan sangat penting bagi meniup semangat barisan pemain yang lain.

Bagaimanapun, kali ini peranan itu akan diambil alih buat pertama kalinya oleh Lee Zii Jia menjelang saingan di Aarhus, Denmark bermula 9 hingga 17 Oktober depan selepas Chong Wei mengumumkan persaraannya pada Jun 2019.

Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 mengakui ia tanggungjawab yang besar bagi memastikan mata pertama buat skuad negara tetapi percaya pengalaman diraih ketika memikul peranan yang sama ketika saingan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China dan Sukan SEA 2019 di Filipina menjadikannya semakin matang.

"Sudah pasti ada tekanan tetapi saya percaya boleh atasi masalah ini. Saya juga percaya rakan sepasukan yang lain akan memberi sokongan kepada saya.

"Tidak kira menang atau kalah, kami terimanya sebagai satu pasukan," kata Zii Jia yang kali pertama beraksi di Piala Thomas pada 2018 sebagai perseorangan kedua negara.

Selain Zii Jia yang menghuni ranking nombor lapan dunia, beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara pemain senior dalam skuad negara yang disenaraikan kali ini manakala selebihnya rata-rata dibarisi pemain muda.

Dengan purata umur pemain dalam skuad kali ini antara 23 hingga 24 tahun, Zii Jia percaya ini adalah peluang terbaik untuk pemain muda menyerlahkan potensi dimiliki mereka dalam kejohanan utama.

"Secara keseluruhannya, memang pasukan kali ini kurang berpengalaman. Ini adalah satu peluang buat rakan sepasukan yang tidak pernah bermain kejohanan besar untuk menyerlah," katanya.

Di Aarhus, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England.

Sebelum kempen Piala Thomas/Uber, Malaysia akan beraksi dalam saingan Piala Sudirman di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober dengan skuad negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Berita Harian X