Sabtu, 18 September 2021 | 4:48pm
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (depan, dua kanan) semasa sesi bergambar ketika melawat ke Akedemik Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.Turut kelihatan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker (depan, kanan) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (depan, dua kiri). - FOTO BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (depan, dua kanan) semasa sesi bergambar ketika melawat ke Akedemik Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.Turut kelihatan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker (depan, kanan) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (depan, dua kiri). - FOTO BERNAMA

Ahmad Faizal mahu persatuan sukan tubuh akademi

KUALA LUMPUR: Akademi Badminton Malaysia (ABM) adalah contoh yang baik untuk diikuti oleh persatuan sukan kebangsaan yang lain bagi memperhebatkan lagi program pembangunan mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kagum dengan pendekatan digunakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila menempatkan pemain remaja bermula usia 13 hingga 18 tahun di bawah satu bumbung yang menyaksikan mereka tinggal, berlatih dan bersekolah di ABM.

Justeru, katanya, beliau bercadang membawa 'blueprint' di ABM untuk diutarakan kepada persatuan sukan kebangsaan yang lain terutamanya membabitkan sukan teras.

"Apabila kita bercakap mengenai akademi, ini (ABM) adalah akademi yang sebenarnya yang mana mereka tinggal, makan, tidur dan bermain dalam satu tempat. Mereka bercakap mengenai badminton sepanjang masa.

"Kalau kita lihat pasukan atau kelab bola sepak ternama, mereka juga mempunyai akademi sukan lebih kurang sama kaedahnya. Jadi, itu yang saya gambarkan," katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan di ABM, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Ditanya mengenai kekangan kewangan yang dihadapi persatuan sukan kebangsaan untuk mengikut jejak langkah BAM, Ahmad Faizal berkata: "Saya melihat BAM juga tidak mempunyai kewangan kukuh dan mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Dalam masa yang sama sukan-sukan teras yang cukup menjadi minat orang ramai seperti badminton dan bola sepak tentunya mereka boleh mencari jalan untuk mendapatkan dana dan sebagainya.

"Namun, bagi pihak KBS tentunya kami tetap akan beri komitmen bekerjasama dengan BAM kerana mereka melaksanakan program yang sangat baik. Maka, saya fikir mereka layak mendapat pembelaan agar usaha untuk kita memastikan negara di tahap teratas badminton dunia dapat kita pertahankan dan diperhebatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X