Jumaat, 17 September 2021 | 8:21pm
Chong Wei derma RM243,000 bagi tambah katil di Hospital Bukit Mertajam.
Chong Wei derma RM243,000 bagi tambah katil di Hospital Bukit Mertajam.

Chong Wei derma RM243,000 tambah katil pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyumbang RM243,000 bagi projek menambah kapasiti katil di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang menjelaskan menerusi sumbangan itu HBM akan mempunyai tambahan 32 katil untuk merawat pesakit COVID-19.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Chong Wei atas sumbangannya menerusi Yayasan Lee Chong Wei.

"Beberapa minggu yang lalu, saya berbincang dengan Datuk Wira Lee Chong Wei tentang keperluan menambah kapasiti Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk merawat pesakit COVID-19.

"Selepas perancangan dengan pihak HBM, hari ini kerja-kerja pembinaan bermula dan dengan pembinaan baru ini, HBM akan mempunyai tambahan 32 katil.

"Peningkatan kapasiti ini juga membolehkan kes-kes COVID-19 yang serius mendapat rawatan awal di sini sementara menunggu ICU di Hospital Pulau Pinang.

"Kita mesti melakukan segala-galanya untuk mengelak lebih banyak kematian. Terima kasih Yayasan Lee Chong Wei yang menyumbang penuh kos projek sebanyak RM243,000," kata Steven Sim dalam hantaran di Facebook miliknya.

Berita Harian X