Selasa, 14 September 2021 | 10:03am
 Gambar fail - Pemain perseorangan wanita badminton remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman.
Gambar fail - Pemain perseorangan wanita badminton remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman.

Berhijab bukan halangan buat Siti Nurshuhaini

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita badminton remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman membuktikan imej berhijab yang ditampilkannya ketika beraksi di dalam gelanggang bukan halangan untuk dia melangkah ke peringkat tertinggi.

Nurshuhaini, 17, ada sebab untuk mendabik dada apabila menjadi pemain berhijab pertama yang dipilih bagi membarisi skuad wanita negara menghadapi saingan Piala Uber di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Katanya, dia terkejut apabila mengetahui namanya disenaraikan bagi membawa cabaran negara di Aarhus dan menyifatkan impiannya kini sudah menjadi kenyataan untuk beraksi dalam kejohanan berprestij berkenaan.

"Sebenarnya tiada sebarang masalah biarpun saya berhijab. Tidak ganggu apa-apa atau menjejaskan prestasi di dalam gelanggang pun. Kini, saya sudah buktikan yang saya mampu untuk mewakili negara di kejohanan tertinggi.

"Ini adalah kejohanan peringkat senior terbesar saya dan saya teruja untuk bersama pasukan beraksi dalam saingan Piala Uber. Ini juga satu permulaan yang positif dalam kerjaya saya untuk bergelar pemain bertaraf dunia," katanya kepada BH Sukan.

Pemain berasal dari Rawang, Selangor itu ketika ini adalah pemain perseorangan nombor satu wanita dalam skuad remaja kebangsaan dan pencapaian terbaiknya tahun ini adalah mara ke separuh akhir saingan Antarabangsa Slovenia, Mei lalu.

Jika diberi peluang untuk turun beraksi di Aarhus, Nurshuhaini, berkata dia sudah bersedia untuk menampilkan prestasi terbaiknya.

"Kalau diturunkan, pasti saya akan cuba yang terbaik. Namun, sama ada diturunkan atau tidak, itu perkara kedua kerana apa yang penting saya dapat menimba pengalaman bersama pasukan dalam kejohanan besar seperti ini," katanya yang dibimbing Datuk Misbun Sidek dan Poh Chai Boon.

Info

Nama: Siti Nurshuhaini Azman

Tarikh lahir: 1 September 2004

Asal: Rawang, Selangor

Ranking dunia (senior): 447

Jurulatih: Datuk Misbun Sidek/Poh Chai Boon

Pencapaian:

* Juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2019 bawah 15 tahun

* Separuh akhir saingan Antarabangsa Slovenia 2021

* Pusingan pertama Terbuka Austria 2021

Berita Harian X