Isnin, 13 September 2021 | 6:55pm

Skuad Piala Thomas mampu lakar kejutan di Denmark

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik percaya skuad lelaki negara mampu melakar kejutan dalam saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, bulan depan.

Wooi Yik yang berpasangan dengan Aaron Chia dan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkata, dia yakin kemampuan skuad negara walaupun kali ini menampilkan barisan muda.

"Malaysia memang menghantar pasukan yang muda. Kita boleh dikatakan sebagai 'underdog' seperti saya dan Aaron di Olimpik. Memang pasukan kita mempunyai potensi untuk melakukan kejutan," kata Wooi Yik kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif RM50,000 daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Wooi Yik menerima insentif berkenaan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. Mengulas lanjut, Wooi Yik berkata, pasukan tidak akan begitu tertekan dengan sasaran mara ke suku akhir, sebaliknya hanya perlu mengekalkan tumpuan untuk mengharungi perlawanan.

"Kita ada (Lee) Zii Jia, kita ada pemain perseorangan lain dan beregu yang berpotensi, jadi kita harapkan tidak membawa tekanan ke sana nanti dan kami hanya akan bertarung saja," katanya.

Ditanya mengenai persaraan Goh Jin Wei, Wooi Yik mengakui terkejut dan berharap rakan seperjuangannya meraih kejayaan dalam bidang lain yang diceburinya selepas ini.

"Memang terkejut tetapi ini keputusan dia yang sudah difikirkannya sejak lama kerana masalah kesihatan. Sebagai atlet, memang masalah kesihatan dan kecederaan itu satu masalah.

"Ini keputusan dia dan harap dia akan berjaya dalam bidang lain," kata Wooi Yik.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyampaikan insentif kepada pemain badminton negara, Soh Wooi Yik (tengah) bagi menghargai pencapaian beliau memenangi pingat gangsa dalam acara badminton berpasangan lelaki pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo di Menara DBKL. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar (kiri). - FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH

Berita Harian X