Isnin, 13 September 2021 | 8:15am
Pemain Russia, Daniil Medvedev mencium trofi Terbuka AS selepas menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic di final dekat New York. - AFP
Pemain Russia, Daniil Medvedev mencium trofi Terbuka AS selepas menewaskan pemain Serbia, Novak Djokovic di final dekat New York. - AFP

Medvedev musnahkan impian Djokovic

NEW YORK: Daniil Medvedev memusnahkan impian Novak Djokovic memenangi Grand Slam dengan kejayaan straight set pada final Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebentar tadi.

Kemenangan itu menafikan pemain nombor satu dunia itu daripada memecahkan rekod 21 kemenangan major.

Pemain nombir dua dunia dari Russia itu mendominasi Djokovic menerusi kemenangan 6-4, 6-4, 6-4 menyebabkan Djokovic terpaksa bertahan dengan rekod sama dengan Roger Federer dan Rafael Nadal dalam karier di Slam.

"Minta maaf buat penyokong dan Novak kerana kita semua tahu apa yang mahu dilakukannya," kata Medvedev.

"Apa yang anda sudah capai dalam karier... bagi saya andalah pemain tenis terhebat dalam sejarah."

Medvedev, naib juara Terbuka AS 2019 meraih kemenangan Grand Slam pertama dalam tiga aksi final dan ia juga pertarungan ulangan final Terbuka Australia yang dimenangi pemain berusia 34 tahun dari Serbia itu.

"Tahniah buat Daniil. Perlawanan hebat," kata Djokovic. "Jika ada sesiapa yang layak meraih gelaran Grand Slam ketika ini, ia adalah anda."

Usaha Djokovic untuk menyapu bersih gelaran di AS, Perancis, Terbuka Australia dan Wimbledon pada tahun yang sama sejak dilakukan Rod Laver 52 tahun lalu, tidak kesampaian pada halangan terakhir.

Legenda berusia 83 tahun dari Australia, Laver antara 23,700 penonton menyaksikan pertembungan dekat Stadium Arthur Ashe itu. - AFP

Berita Harian X