Sabtu, 11 September 2021 | 8:41pm
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann (kiri) pada sidang media mengumumkan senarai pemain yang mewakili negara pada Piala Sudirman, Piala Thomas da Uber di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann (kiri) pada sidang media mengumumkan senarai pemain yang mewakili negara pada Piala Sudirman, Piala Thomas da Uber di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA.

'Pemain muda usah gentar'

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu pemain muda yang dipilih bagi membawa cabaran negara dalam saingan Piala Sudirman, Piala Thomas dan Uber membuang perasaan gentar apabila berdepan dengan pemain yang memiliki reputasi lebih tinggi.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata mereka perlu memanfaatkan peluang yang diberi dengan mempamerkan semangat juang tinggi dan membuktikan kemampuan masing-masing.

Katanya, keputusan menyenaraikan skuad muda bagi menghadapi ketiga-tiga kejohanan utama itu adalah sebagai sebahagian persiapan awal Malaysia menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

"Sebagai contoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), walaupun mereka muda tetapi mampu kalahkan pasangan nombor satu dan dua dunia (di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu).

"Jadi, saya fikir semangat yang sama juga perlu ada di kalangan pemain muda kita yang lain. Jangan takut kerana mereka tidak rugi apa-apa.

"Seperti kita umumkan dua atau tiga hari lalu, kita akan menjaga kebajikan mereka dan memikirkan cara bagaimana untuk menentukan perjalanan kerjaya mereka agar terus naik dan naik.

"Ini adalah untuk mereka menunjukkan pada kita dan rakyat Malaysia mereka adalah pasukan muda yang akan berupaya untuk membawa cabaran kita terutama pada Paris 2024," katanya ketika sidang media bagi mengumumkan senarai pemain untuk menghadapi saingan Piala Sudirman, Piala Thomas dan Uber, di sini, hari ini.

Saingan Piala Sudirman akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Bagi saingan Piala Thomas/Uber pula, ia akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober.

Di Aarhus, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England manakala skuad wanita akan bertemu China, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

Skuad negara diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir bagi ketiga-tiga kejohanan berkenaan.

Senarai pemain:

Piala Sudirman - Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Ng Tze Yong (perseorangan lelaki), Aidil Sholeh Ali Sadikin (perseorangan lelaki), S Kisona (perseorangan wanita), Eoon Qi Xuan (perseorangan wanita), K Letshanaa (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Yap Ling-Teoh Mei Xing (beregu wanita), Hoo Pang Ron-Cheah Yee See (beregu campuran) dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran).

Piala Thomas - Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Ng Tze Yong (perseorangan lelaki), Cheam June Wei (perseorangan lelaki), Leong Jun Hao (perseorangan lelaki), Aidil Sholeh Ali Sadikin (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (beregu lelaki), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Low Hang Yee (beregu lelaki).

Piala Uber - S Kisona (perseoragan wanita), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Eoon Qi Xuan (perseorangan wanita), K Letshanaa (perseorangan wanita), Siti Nurshuhaini Azman (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Yap Ling-Teoh Mei Xing (beregu wanita) dan Lee Meng Yean-Go Pei Kee (beregu wanita).

Berita Harian X