Ahad, 24 Januari 2021 | 8:51pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah antara yang menyerlah dalam Terbuka Thailand di Bangkok. - Foto BERNAMA.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah antara yang menyerlah dalam Terbuka Thailand di Bangkok. - Foto BERNAMA.

Beregu wanita negara makin meningkat

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Chan Chong Ming percaya anak buahnya kini sudah mula menunjukkan kemampuan untuk menyaingi kehebatan pasangan dari Korea Selatan, Jepun, China selain beregu utama dari Indonesia dan Thailand.

Katanya, tiga pasangan negara, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M Thinaah menunjukkan peningkatan prestasi yang positif dalam dua kejohanan - Terbuka Thailand Yonex dan Toyota.

"Ketiga-tiga pasangan itu menunjukkan peningkatan prestasi dari aspek pertahanan dan serangan mereka lebih baik. Kini, kami mampu memberi cabaran kepada hampir semua pasangan kecuali pasangan dari Korea, Jepun, China selain beregu utama Indonesia dan Thailand.

"Namun, kami percaya kami sudah mula memiliki peluang yang baik untuk memberi cabaran kepada mereka pada masa akan datang," kata Chong Ming.

Pasangan muda, Pearly Tan-M Thinaah menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara apabila mara sehingga suku akhir Terbuka Thailand Yonex dan Toyota.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah ketika mereka menyingkirkan pilihan keenam dari Korea, Chang Ye Na-Kim Hye Rin di pusingan pertama Terbuka Thailand Toyota, Rabu lalu.

Meng Yean-Mei Kuan pula yang tersingkir di pusingan kedua Terbuka Thailand Yonex kembali bangkit apabila mara sehingga separuh akhir Terbuka Thailand Toyota.

Vivian-Cheng Wen yang turut tersingkir di pusingan kedua Terbuka Thailand Yonex berjaya mara ke suku akhir di Terbuka Thailand Toyota.

Berdasarkan keputusan dicapai dalam kedua-dua kejohanan itu, Meng Yean-Mei Kuan dan Vivian-Cheng Wen kini secara tidak rasmi layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan bermula Selasa ini.

Berita Harian X