Rabu, 20 Mei 2020 | 9:22pm
Aksi Chong Wei ketika bertemu Lin Dan pada Sukan Olimpik London pada 2012. - Arkib NSTP
Aksi Chong Wei ketika bertemu Lin Dan pada Sukan Olimpik London pada 2012. - Arkib NSTP

Chong Wei sifatkan Lin Dan sukar layak Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan sukar buat seteru utamanya, Lin Dan untuk layak ke Sukan Olimpik susulan saingan sengit daripada pemain muda dari China.

Lin Dan meletak harapan tinggi untuk melangkah ke Sukan Olimpik di Tokyo tahun depan untuk kali kelima berturut-turut, namun usianya bakal menganjak ke 37 tahun, tahun depan selepas temasya terpaksa ditangguhkan susulan COVID-19.

Juara dua kali Olimpik itu ketika ini berada di ranking ke-19 dunia, di belakang dua rakan senegaranya.

Setiap negara hanya boleh menyenaraikan dua pemain untuk beraksi dalam aksi perseorangan di Olimpik, dengan mereka perlu berada dalam kedudukan 16 terbaik.

"Saya fikir, ia akan menjadi sukar sekiranya Lin Dan mahu menyertai Olimpik kerana hanya dua pemain dari pasukan China boleh mengambil bahagian," kata Chong Wei, 37.

"Sekiranya dia mahu mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik, dia perlu beada dalam kalangan kedua terbaik untuk layak."

"Badminton mempunyai kaitan dengan usia. Apabila kamu meningkat usia, ia menjadi semakin sukar untuk bersaing dengan pemain muda," .

Lin Dan yang dikenali sebagai 'Super Dan' sebelum ini berkata, dia tidak akan menyerah kalah untuk mencari slot kelayakan ke Sukan Olimpik.

Namun rakan senegaranya, Chen Long, 31, ketika ini berada di tangga kelima manakala Shi Yuqi, 24, berada di kedudukan kesembilan dan secara tidak langsung meletakkan kedua-duanya dalam posisi kukuh.

Lin Dan pernah memenangi dua pingat emas ketika Olimpik 2008 dan 2012 – masing-masing menewaskan Chong Wei di pentas final – namun kegemilangannya kini semakin ditelan arus zaman.

Dalam pada itu, Chong Wei menjangkakan seandainya Lin Dan bersara, kedua-duanya mampu bekerjasama dalam usaha mempromosi sukan badminton.

"Selepas dia bersara, saya percaya kami masih boleh mempertimbangkan kerjasama bersama untuk mempromosi sukan badminton," kata Chong Wei. - AFP

Berita Harian X