Selasa, 19 Mei 2020 | 5:03pm
Chong Wei meraikan kegembiraan bersama jurulatihnya Hendrawan (kiri) dan Seu Bock selepas tewaskan pemain China, Lin Dan 15-21, 21-11, 22-20 pada aksi separuh akhir Sukan Olimpik Rio 2016.
Chong Wei meraikan kegembiraan bersama jurulatihnya Hendrawan (kiri) dan Seu Bock selepas tewaskan pemain China, Lin Dan 15-21, 21-11, 22-20 pada aksi separuh akhir Sukan Olimpik Rio 2016.

Ramuan terbaik - Chong Wei

KUALA LUMPUR: Legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei percaya penyatuan semula Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock adalah ramuan terbaik bagi meningkatkan prestasi pemain perseorangan lelaki negara.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang pernah mendapat bimbingan daripada kedua-dua jurulatih berkenaan berkata, biarpun kedua-duanya mempunyai cara yang berbeza tetapi itu membuatkan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

"Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan. Macam Hendrawan dia pernah menjadi juara dunia (ketika bergelar pemain), Piala Thomas dan banyak lagi kejuaraan. Pengalaman itu membantunya untuk menjadi jurulatih.

"Jurulatih Seu Bock pula mendapat pengalaman kejurulatihannya menerusi tugas sebagai pembantu kepada jurulatih terkemuka seperti Datuk Misbun Sidek dan Li Mao sebelum ini. Dia dapat belajar banyak perkara daripada jurulatih yang berbeza.

"Jadi, kedua-duanya ada pengalaman masing-masing dan jika ia digabungkan, saya percaya ia boleh menghasilkan impak yang positif," kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Kombinasi Hendrawan dan Seu Bock sebelum ini sudah terbukti mampu menghasilkan keputusan positif apabila membantu Chong Wei memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, Chong Wei, berkata biarpun peranan jurulatih penting tetapi semuanya terletak di tangan pemain itu sendiri bagi menentukan apa yang mereka mahukan dalam kerjaya sebagai pemain badminton.

"Jurulatih penting tetapi yang paling penting adalah diri sendiri. Apa yang diri kita mahukan.

"Jika jurulatih bagi program latihan tetapi kita tidak mahu ikut pun tiada gunanya. Jurulatih hanya boleh beri tunjuk ajar namun selebihnya adalah usaha kita sendiri," katanya.

Berita Harian X