Ahad, 17 Mei 2020 | 5:25pm
Flandy (kanan) bersama bekas anak didiknya di India.
Flandy (kanan) bersama bekas anak didiknya di India.

Flandy ketua jurulatih beregu lelaki baharu

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penstrukturan semula jurulatih dan paling mencuri tumpuan adalah pelantikan Flandy Limpele sebagai ketua jurulatih beregu lelaki yang baharu.

Jurulatih dari Indonesia berusia 46 tahun itu yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Athens 2004 akan mengambil alih tempat Paulus Firman yang ditukarkan mengetuai skuad beregu campuran.

Flandy akan dibantu dua lagi jurulatih iaitu Rosman Razak yang ditukarkan daripada beregu wanita selain Hoon Thien How.

"Flandy memainkan peranan penting ketika membantu beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun lalu," kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock sah kembali disatukan untuk membimbing pemain perseorangan lelaki manakala Indra Wijaya akan mengetuai skuad perseorangan wanita sambil dibantu Loh Wei Sheng.

"Kedua-dua jurulatih (Hendrawan dan Seu Bock) mempunyai pengalaman yang luas dan kombinasi mereka mempunyai rekod yang baik apabila membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

"Indra pula yang diberi peranan membimbing perseorangan wanita mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas yang mana dia pernah melatih skuad Korea Selatan sebelum memulakan tugas di Malaysia pada 2016," kata Norza.

Norza dalam kenyataan sama turut mengumumkan pelantikan bekas pemain beregu kebangsaan, Chan Chong Ming sebagai ketua jurulatih beregu wanita dan pemenang gangsa Kejohanan Dunia sebanyak dua kali itu akan dibantu Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui yang ditukarkan daripada beregu campuran.

Bagi acara beregu campuran, Paulus akan dibantu Teo Kok Siang.

"Selepas pencapaian yang dilakar ketika Kejohanan Berpasukan Asia Februari lalu yang menyaksikan skuad muda negara muncul naib juara, penting untuk kita meneruskan kecemerlangan. Tiada tempat untuk rasa selesa dalam skuad kebangsaan.

"Sebagai Presiden BAM, saya berharap perubahan ini mampu memberi nafas baharu kepada skuad kebangsaan dan motivasi buat pemain bagi melakukan persiapan menghadapi Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober serta Sukan Olimpik Tokyo pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

"Kami berharap, dua ketua jurulatih baharu yang dilantik (Flandy dan Chong Ming) boleh memulakan tugas pada 15 Jun ini tetapi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan ketika ini," kata Norza.

INFO

Jurulatih Perseorangan lelaki

1. Hendrawan

2. Datuk Tey Seu Bock

Perseorangan wanita

1. Indra Wijaya

2. Loh Wei Sheng

Beregu lelaki

1. Flandy Limpele

2. Rosman Razak

3. Hoon Thien How

Beregu wanita

1. Chan Chong Ming

2. Wong Pei Tty

3. Chin Eei Hui

Beregu campuran

1. Paulus Firman

2. Teo Kok Siang

Berita Harian X