Ahad, 17 Mei 2020 | 3:05pm
Aidil janji gandakan usaha dalam latihan sebaik ia bersambung.
Aidil janji gandakan usaha dalam latihan sebaik ia bersambung.

Aidil harap tak terlepas ke Aarhus

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin mempunyai 'ramuan' tersendiri bagi memikat barisan jurulatih untuk disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, Oktober depan.

Pemain perseorangan lelaki berusia 20 tahun itu berkata, walaupun sedar masih kurang pengalaman beraksi dalam kejohanan berpasukan tetapi itu seharusnya tidak menjadi alasan mengapa dirinya tidak boleh dipertimbangkan untuk bersama skuad negara ke Aarhus.

Bagaimanapun, dia mengakui bukan mudah untuk menempatkan diri dalam pasukan, apatah lagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut akan memanggil pemain profesional menjalani sesi pemilihan bagi menggalas cabaran negara.

"Memang sasaran saya untuk bermain dalam Piala Thomas tetapi selepas beberapa bulan tidak berlatih di gelanggang kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya perlu menggandakan usaha apabila dapat kembali berlatih dan berikan yang terbaik.

"Saya positif apabila BAM turut mempertimbangkan untuk menyenaraikan pemain profesional. Saya fikir ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain bagi merebut tempat dan sudah pasti hanya yang terbaik akan dipilih," katanya kepada BH Sukan.

Aidil hanya sekali disenaraikan dalam skuad negara iaitu pada Sukan SEA 2019 di Filipina namun dia sekadar memanaskan bangku simpanan ketika Malaysia meraih pingat perak berpasukan selepas tewas di tangan Indonesia dalam aksi final.

Ketika ini, hanya Lee Zii Jia pasti berada dalam skuad negara sebagai perseorangan pertama manakala tugas perseorangan kedua, ketiga dan keempat akan menjadi rebutan beberapa pemain lain termasuklah wakil profesional.

Selain Aidil, antara yang mengintai peluang berada dalam skuad negara ialah Chem June Wei, Leong Jun Hao, Lim Chong King, Liew Daren, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven.

Persiapan skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas yang berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober depan dijangka bermula pada pertengahan Julai depan.

Berita Harian X