Khamis, 16 April 2020 | 2:51pm
Fazriq menjalani latihan di rumah sepanjang PKP.
Fazriq menjalani latihan di rumah sepanjang PKP.

Fazriq tak sabar 'korek' ilmu bapa saudara

KUALA LUMPUR: Pemain badminton remaja negara, Mohd Fazriq Razif mengakui tidak sabar kembali menuntut ilmu dengan Datuk Misbun Sidek selepas program latihan terpaksa ditangguhkan sejak sebulan lalu susulan pandemik COVID-19.

Bintang dalam pembikinan berusia 16 tahun itu berkata, dia sememangnya berharap dapat terus 'berguru' dengan Misbun yang juga bapa saudaranya apabila program latihan disambung semula.

"Awal tahun ini saya sempat berlatih di bawah beliau dan saya memang berharap dapat meneruskan latihan bersama dia selepas ini. Banyak lagi ilmu yang harus saya belajar daripada beliau," kata Fazriq yang juga anak kepada legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.

Peluang terhidang buat Fazriq untuk mendapat bimbingan daripada Misbun selepas legenda itu dilantik sebagai pengarah pembangunan remaja kebangsaan, awal tahun ini.

Fazriq dilabel sebagai bintang masa depan berikutan beberapa kejuaraan diraihnya di pentas antarabangsa dalam acara perseorangan dan beregu.

Bagi acara beregu dia berpasangan dengan Justin Hoh.

Dalam pada itu, berkongsi aktivitinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fazriq berkata, biarpun program latihan di gelanggang terpaksa dilupakan seketika namun dia tetap menjalani latihan fizikal di rumahnya.

"Jurulatih (Muhamad Hafiz Hashim) sudah menyediakan program latihan untuk kami. Jadi, setiap hari ada dua sesi latihan iaitu pagi dan petang.

"Sesi pagi selalunya latihan diadakan secara atas talian menerusi aplikasi Zoom dengan jurulatih dan rakan pemain yang lain manakala petang pula berlatih secara sendiri.

"Saya memang rindu untuk kembali ke gelanggang dan berharap PKP dapat berakhir secepat mungkin.

"Namun, ada sesuatu yang saya belajar sepanjang tempoh PKP ini. Saya belajar lebih banyak bersabar dalam situasi yang tidak diduga dan walaupun tidak berkesempatan menjalankan latihan pada masa sukar ini, saya percaya kami tidak boleh berputus asa," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X