Sabtu, 14 March 2020 | 8:36am
Gambar fail, pemain negara, Lee Zii Jia beraksi pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Gambar fail, pemain negara, Lee Zii Jia beraksi pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia bertemu Axelsen, Aaron-Wooi Yik tersingkir

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan membuat perhitungan dengan bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi separuh akhir Seluruh England yang dijadual berlangsung, petang ini.

Peluang dilihat seimbang buat kedua-dua pemain untuk melangkah ke pentas final selepas masing-masing merekodkan satu kemenangan dalam dua pertemuan sebelum ini dengan Zii Jia menang pada aksi terakhir mereka ketika saingan Terbuka Korea, September tahun lalu.

“Saya harap akan terus kekal fokus dan boleh mengekalkan momentum saya dalam kejohanan ini,” kata Zii Jia yang menghuni ranking ke-13 dunia.

Gambar fail, bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. - Foto Getty Image
Gambar fail, bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. - Foto Getty Image

Terdahulu, pemain berusia 21 tahun itu mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China 21-12, 12-18 manakala Axelsen yang turun selaku pilihan kedua mengatasi seorang lagi pemain China, Shi Yuqi 21-15, 21-17 dalam aksi suku akhir.

Mengulas kejayaannya menumbangkan Chen Long, Zii Jia berkata: “Saya berjaya kekal tenang sepanjang perlawanan dengan Chen Long. Biarpun keputusan  perlawanan dilihat saya menang mudah, namun hakikatnya ia adalah perlawanan yang sukar,” katanya.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Seluruh England dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2017.

Sementara itu, perjuangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berakhir selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 17-21, 19-21.

Ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut dialami Aaron-Wooi Yik di tangan pasangan Indonesia itu.

 

Berita Harian X