Isnin, 2 March 2020 | 12:58pm
Azizulhasni Awang (kanan) beraksi dalam acara pecut di Berlin. - Foto AFP
Azizulhasni Awang (kanan) beraksi dalam acara pecut di Berlin. - Foto AFP

Berbasikal trek di landasan terbaik

KUALA LUMPUR: Kali terakhir Azizulhasni Awang meraih pingat dalam acara pecut di Kejohanan Dunia adalah pada tahun 2009 di Pruszkow, Poland dan gangsa yang diraihnya pada edisi di Berlin, Jerman semalam membuktikan betapa skuad berbasikal trek kini berada di landasan tepat menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini. 

Azizulhasni menamatkan kemarau di pentas podium dalam acara pecut di Berlin dengan meraih pingat gangsa selepas pelumba dari Dungun, Terengganu itu menamatkan saingan di tempat kedua di Pruzkow, 11 tahun lalu. 

"Satu lagi pingat gangsa untuk Malaysia. Pingat ini agak istimewa apatah lagi sudah 11 tahun sejak kami cuba mencari jalan untuk kembali berada di pentas podium dalam acara pecut," kata ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley dalam entrinya di Facebook. 

"Terima kasih kepada keluruhan pasukan dan peranan yang dimainkan dalam usaha ke arah ini, sudah tentu semua ini tidak akan tercapai tanpa individu ini, Azizulhasni Awang, The Pocket Rocketman Malaysia."

Gangsa yang diraih Azizulhasni ini adalah yang kedua peribadinya di Berlin dengan minggu lalu meraih pingat sama dalam acara keirin.

Harrie Lavreysen dari Belanda meraih pingat emas sekali gus mengekalkan jersi pelangi diraihnya manakala rakan senegaranya, Jeffrey Hoogland melengkapkan pentas podium bagi acara pecut individu lelaki itu. 

Azizulhasni turut memulakan acara berkenaan dengan langkah positif apabila memecahkan rekod Asia dan kebangsaan, melakukan catatan 9.548 saat (s) untuk mendapatkan tempat kelima daripada 34 pelumba dalam pusingan kelayakan. 

Pelumba berusia 32 tahun itu memadam rekod Asia 9.609s dilakukan pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang diciptanya, 9.760s.

Berita Harian X