Jumaat, 14 Februari 2020 | 6:02pm
Datuk James ketika sidang media mengenai pengundurannya daripada syarikat Bata Sdn Bhd selepas 40 tahun, hari ini.
Datuk James ketika sidang media mengenai pengundurannya daripada syarikat Bata Sdn Bhd selepas 40 tahun, hari ini.

Badminton gagal jika tak menang pingat di Tokyo

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara akan dianggap gagal sekiranya tidak memenangi sebarang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj yang turut berpendapat pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia adalah prospek terbaik bagi menghadiahkan pingat buat kem badminton di Tokyo.

Katanya, peluang agak sukar buat wakil negara yang lain berbanding Zii Jia.

"Ia akan menjadi lebih buruk kepada Malaysia jika tidak memenangi pingat. Jika mereka pulang membawa pingat, bermakna ada sinar untuk badminton negara.

“Namun, jika tiada pingat, mereka tidak dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan Datuk Lee Chong Wei.

“Satu-satunya pemain yang saya rasakan mampu membawa pulang pingat adalah Zii Jia. Namun, dia perlu bekerja keras untuk tempoh baki persiapan sebelum ke Olimpik.

"Beregu lelaki negara mungkin ada peluang juga tetapi amat tipis berdasarkan kekuatan dimiliki pasangan dari Indonesia, Jepun dan China," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pengunduran dirinya daripada syarikat Bata Sdn Bhd selepas 40 tahun dengan jawatan terakhirnya sebagai pengurus kanan pemasaran, hari ini.

Skuad badminton negara tidak pernah gagal memenangi pingat pada tiga temasya terakhir Olimpik sebelum ini bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Di Beijing dan London, skuad badminton membawa pulang satu pingat perak menerusi Chong Wei manakala di Rio menjadi pencapaian paling cemerlang sukan itu apabila meraih tiga perak.

Ia hadir menerusi Chong Wei, beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Dalam pada itu, James, berkata dengan pengundurannya daripada Bata, beliau kini sedia menawarkan khidmat bersama mana-mana pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya memerlukan kepakarannya.

James pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM.

"Saya juga bersedia memberikan khidmat kepada mana-mana kelab atau persatuan negeri," katanya.

Berita Harian X