Isnin, 3 Februari 2020 | 10:51am
Djokovic mengucup Piala Cabaran Norman Brooks selepas menang Terbuka Australia. - AFP
Djokovic mengucup Piala Cabaran Norman Brooks selepas menang Terbuka Australia. - AFP

Djokovic sasar padam rekod Federer

MELBOURNE: Novak Djokovic memberikan notis buat Roger Federer selepas dia memenangi gelaran Grand Slam ke-17 pada Terbuka Australia dan memberi amaran dia mahu memadam rekod 20 kejuaraan pemain Switzerland itu - dengan dia kini bergelar nombor satu dunia.

Djokovic yang hadir selepas prestasi sedikit merudum untuk menang gelaran kelapan di Melbourne, tidak berhenti berusaha mencipta kemenangan yang mungkin tidak lama lagi menamatkan debat siapa yang terhebat dalam sejarah.

Kemenangan lima set mengatasi Dominic Thiem untuk gelaran kelapan daripada lapan final di Melbourne, meletakkannya sebaris dengan Federer dan Nadal sebagai pemain lelaki yang menang kejohanan sama sebanyak lapan kali.

Ia menjadikan Djokovic, 32, pemain lelaki pertama dalam era Terbuka dan hanya kedua dalam sejarah, menang Grand Slam dalam tiga dekad berbeza – dan sebagai bonus memberikannya kedudukan nombor satu dunia.

Tanda kebangkitannya dijangka berterusan dengan pemain Serbia itu memulakan musim tanpa kalah dengan Wimbledon, Terbuka Perancis, Olimpik Tokyo dan Terbuka Amerika Syarikat akan memberikannya peluang lebih banyak.

“Jelas pada tahap ini dalam karier saya, gelaran Grand Slam paling saya hargai. Ia adalah keutamaan saya,” kata Djokovic sambil berkata “masih banyak sejarah sepanjang laluan.”

“Grand Slam adalah satu daripada sebab saya masih bertanding dan masih bermain pada keseluruhan musim, cuba mendapatkan nombor satu yang bersejarah (rekod). Itu satu lagi sasaran besar,” katanya.

Berita Harian X