Isnin, 9 Disember 2019 | 8:44pm

Malaysia sapu bersih emas skuasy berpasukan

MANILA: Seperti diramal, Malaysia menyapu bersih pingat emas bagi skuasy berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA 2019.

Pemain paling gembira sudah pasti Darren Rahul Pragasam yang menyumbang mata kemenangan buat Malaysia dalam aksi final berpasukan lelaki dengan kemengan 3-0 ke atas Indonesia.

Kemenangan Darren setidak-tidaknya menebus kekecewaan dialami ketika dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain Filipina, Rafael Yam pada aksi separuh akhir berpasukan lelaki pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Kali ini, Darren memastikan kesilapan sama tidak berulang apabila dia menang ke atas Muhammad Faisal dari Indonesia, 11-5, 11-9, 11-5.

Terdahulu, Addeen Idrakie Bahtiar menyumbang mata pertama skuad negara apabila menewaskan Agung Wilant 11-8, 11-2, 11-3 manakala Ryan Pasqual menumbangkan Rahmad Diyanto 11-6, 11-2, 11-3.

“Ia kemenangan yang cukup bermakna terutama selepas kekalahan saya di tempat sendiri pada 2017.

“Banyak perkara yang diperkatakan selepas kekalahan saya itu tetapi itu adalah lumrah sebagai atlet dan menjadi pengajaran berguna buat saya.

“Saya gembira dapat membalas kepercayaan yang diberikan. Saya berterima kasih kepada semua termasuk rakan sepasukan, jurulatih dan SRAM (Persatuan Raket Skuasy Malaysia),” kata Darren.

Sementara itu, aksi final berpasukan wanita menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 3-0.

Mata pertama disumbangkan Rachel Arnold yang menang ke atas S Sneha 11-5, 11-6, 11-3 sebelum Lai Wen Li menyumbang mata kedua hasil kemenangan ke atas Sherilyn Yang 10-12, 11-6, 11-3, 11-4.

Ooi Kah Yan melengkapkan kemenangan pasukan negara selepas menundukkan Yukino Tan 11-5, 11-7, 11-8.

Berita Harian X