Khamis, 28 November 2019 | 10:14pm
AKSI Fazriq ketika menentang pasangan Putrajaya.
AKSI Fazriq ketika menentang pasangan Putrajaya.

Fazriq bantu KL kekal rentak kemenangan

GEORGETOWN: Pasukan Kuala Lumpur mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan Putrajaya  3-0 pada hari kedua Kejohanan Badminton Kebangsaan Antara Negeri Berpasukan Bawah 16 (B-16) Tahun Lelaki di Dewan Persatuan Badminton Pulau Pinang di Bukit Dambar, hari ini.

Pemain tonggak mereka, Muhammad Fazriq Razif yang berpasangan dengan Bryan Jeremy Goonting melengkapkan kemenangan  apabila menewaskan Abdul Hadi Ahmad Azamuddin Husni-Zainuddin Fawwaz   21-11, 21-15 dalam hanya 20 minit. Bagaimanapun, Fazriq tidak beraksi ketika mereka bergelut menewaskan Sarawak 2-1 semalam.

Terdahulu, dalam aksi perseorangan, Bryan Chang Kai Yang meraih kemenangan ke atas Ravikumar Aviinash 21-9, 21-16 sebelum perseorangan kedua, Justin Hoh mudah menewaskan Oon Zhi Yung 21-7, 21-9. 

Pasukan tuan rumah, Pulau Pinang tidak turun ke gelanggang hari ini selepas menewaskan Terengganu  3-0 pada aksi pembukaan semalam.

 Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dilihat bakal menempah tempat ke final sekiranya perancangan berjalan lancar buat kedua-dua pasukan dalam peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Sabah yang diletak pilihan kedua begitupun dilihat kurang bermaya selepas tewas 1-2 dalam kedua-dua perlawanan menentang Perak semalam dan Kelantan, hari ini.

Pasukan lain seperti Kedah, Perak, Selangor, Pahang dan Pahang kesemuanya memenangi perlawanan masing-masing.

Bagi kategori B-16 wanita, kesemua pasukan pilihan mencapai sasaran dengan Selangor, Melaka, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing memenangi perlawanan. Hanya pilihan ketiga Sabah tewas 1-2 di tangan Perak.

Untuk kategori B-12 lelaki, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing memenangi perlawanan tatkala pasukan bukan pilihan Putrajaya mencipta kejutan menewaskan pilihan keempat, Melaka 2-1.

Berita Harian X