Jumaat, 8 November 2019 | 6:47pm
Beregu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kalahkan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan di suku akhir Terbuka China di Fuzhou, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Akhirnya Aaron-Wooi Yik 'ajar' juara dunia

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan badi kekalahan di tangan pasangan Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan apabila menumbangkan juara dunia itu pada aksi suku akhir Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang tewas keempat-empat pertemuan dengan Ahsan-Hendra termasuk ketika final Seluruh England, Mac lalu hanya memerlukan tempoh 26 minit  bagi mencatat kemenangan 21-13, 22-20.

Pasangan negara yang menghuni ranking ke-14 dunia itu mengakui puas dengan kemenangan dilakar ke atas juara dunia tiga kali itu.

"Apa saya boleh katakan adalah kami puas dengan prestasi yang kami tunjukkan hari ini. Ini sudah pasti meningkatkan lagi tahap keyakinan kami bagi menghadapi perlawanan seterusnya," kata Aaron kepada BH Sukan.

Aksi separuh akhir bakal menyaksikan pasangan muda negara itu menentang pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan ketiga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-13, 21-18.

"Ini adalah kemenangan yang cukup penting bagi kami selain meningkatkan lagi tahap keyakinan kami. Ini juga menjadi suntikan semangat buat kami yang mana kami berjaya menunjukkan permainan seperti mana ketika sesi latihan," kata Shevon.

Mereka dijangka berdepan laluan sukar bagi memburu slot ke pentas final apabila bertemu pilihan pertama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, esok.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean apabila tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan Jepun yang juga pilihan kedua, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 15-21, 14-21.

Berita Harian X