Rabu, 6 November 2019 | 4:56pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Soniia Cheah. - Foto Eizairi Shamsudin

Soniia kejutkan pilihan kedua Terbuka China

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah semakin ‘bernafsu’ untuk terus menghasilkan kemenangan selepas kejayaannya mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Akane Yamaguchi pada pusingan pertama Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Soniia yang menghuni ranking ke-33 dunia mempamerkan prestasi luar biasa apabila hanya memerlukan 37 minit untuk menumbangkan Yamaguchi yang juga pemain ranking nombor empat dunia 21-19, 21-16 sekali gus melangkah ke pusingan kedua.

“Saya bermain dengan baik hari ini, ia bukan mudah untuk menang ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi saya berjaya melakukannya. Saya sanga gembira dengan kemenangan ini.

“Sudah pasti kemenangan ini adalah permulaan yang baik dalam kejohanan ini dan ia meningkatkan keyakinan saya bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” kata Soniia yang tewas kepada Yamaguchi ketika Terbuka Malaysia, April lalu.

Soniia akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Kanada, Michelle Li dengan Cheung Ngan Yi dari Hong Kong bagi perebutan tempat ke suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu.

Sementara itu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.

Soon Huat-Shevon menang ke atas pilihan kelapan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith 21-18, 21-19 manakala Peng Soon-Liu Ying yang kini bergerak secara profesional mengatasi pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-19, 21-19.

Aksi pusingan kedua esok menyaksikan Soon Huat-Shevon menentang Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia manakala Peng Soon-Liu Ying bertemu pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.

Berita Harian X