Khamis, 24 Oktober 2019 | 6:58pm
Fazriq mengakui berada dalam dilema bagi membuat keputusan memilih sama ada mahu beraksi dalam acara perseorangan atau beregu. - NSTP/Adzlan Sidek
Fazriq mengakui berada dalam dilema bagi membuat keputusan memilih sama ada mahu beraksi dalam acara perseorangan atau beregu. - NSTP/Adzlan Sidek

Fazriq enggan terburu-buru pilih acara

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Muhd Fazriq Razif mengakui berada dalam dilema bagi membuat keputusan memilih sama ada mahu beraksi dalam acara perseorangan atau beregu.

Pemain berusia 15 tahun itu enggan terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya mahu diberi peluang bermain dalam dua acara bagi menimba pengalaman.

“Saya akan buat keputusan apabila saya sudah bersedia untuk fokus dalam satu acara saja. Buat masa sekarang saya masih belum bersedia lagi untuk buat keputusan.

“Lagipun saya masih teragak-agak untuk memilih acara yang mana kerana prestasi dalam kedua-dua acara juga baik,” kata Fazriq kepada BH Sukan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan bapa Fazriq yang juga bekas pemain beregu negara, Datuk Razif Sidek menyerahkan kepada anaknya itu untuk membuat keputusan memilih acara yang diinginkannya.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 itu merasakan Fazriq lebih baik bermain dalam acara beregu.

Razif senada dengan kenyataan bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj sebelum itu yang merasakan Fazriq lebih sesuai bermain acara beregu berbanding perseorangan selain mahu pemain itu membuat keputusan secepat mungkin.

“Kalau berdasarkan keputusan kejohanan, memang saya banyak meraih kejayaan dalam acara beregu berbanding perseorangan. Namun, saya juga ada memenangi beberapa kejohanan dalam acara perseorangan.

“Sekarang ini, pasangan saya Justin (Hoh Shou Wei) juga turut bermain acara perseorangan. Kami berdua tidak pernah bincang untuk fokus pada beregu saja.

“Mungkin apabila tiba waktunya, kami akan berbincang dan membuat keputusan memilih sama ada beregu atau perseorangan,” kata Fazriq.

Berita Harian X