Selasa, 22 Oktober 2019 | 6:27pm

'Calon mesti ada daya pemikiran tinggi'

 

KUALA LUMPUR: Datuk James Selvaraj menyokong usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang ketika ini sedang mencari calon sesuai bagi menggalas tanggungjawab sebagai pengarah kejurulatihan skuad remaja negara.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, berkata badan induk itu memerlukan seseorang yang memiliki daya pemikiran tinggi bagi membantu mengembalikan 'taring' pemain remaja yang kini mengalami kemerosotan prestasi.

"Program pembangunan peringkat remaja sangat penting buat BAM kerana inilah yang menjadi pelapis kepada skuad senior. Jika program ini tidak diberi tumpuan, bagaimana kita mahu melahirkan pemain mewakili negara.

"Kita memerlukan seseorang yang mampu untuk menyediakan program terbaik bagi peringkat remaja. Kita perlu seseorang yang ada daya pemikiran tinggi dan bukan sekadar mahu menghantar pemain menyertai kejohanan saja.

"Apabila sudah mendapat calon sesuai, BAM perlu beri orang itu kuasa sepenuhnya termasuklah memilih barisan jurulatih dimahukannya. Bagi saya, BAM perlu buat rombakan secara besar-besaran," kata James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM.

Sementara itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek menyuarakan minat sekiranya BAM mahu mendapatkan khidmat pengarah kejurulatihan bagi program peringkat remaja.

Katanya, beliau mempunyai idea yang boleh membantu bagi meningkatkan prestasi pemain remaja.

"Saya terbuka, jika BAM memerlukan khidmat saya, saya sedia mempertimbangkannya. Saya fikir, saya ada idea yang boleh diketengahkan untuk membantu meningkatkan prestasi pemain remaja.

"Saya sendiri agak kecewa melihat situasi pemain remaja kita yang semakin lama semakin merudum. Saya bukan mahu salahkan sesiapa tetapi itulah hakikatnya sekarang," kata Razif  yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Barcelona 1992 bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek.

Berita Harian X