Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:27pm
PENGARAH Urusan AEON Credit Service M Bhd, Yuro Kisaka (berbaju polo) menyampaikan trofi kejuaraan AEON Credit Purple League Junior 2019 kepada pasukan Kuantan Synergy BC pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Sports Arena Sentosa semalam.

KSBC rangkul kejuaraan Junior Purple League 2019

KUALA LUMPUR: Pendatang baharu, Kelab Badminton Kuantan Synergy (KSBC) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Junior Purple League (JPL) 2019 dengan rekod tanpa kalah selepas berakhirnya saingan Divisyen 1 di Sports Arena Sentosa, semalam.

Mendahului sejak pusingan pertama yang berlangsung di Sports Arena Falim, Ipoh, kelab bimbingan, Azman Amman itu meneruskan dominasi mereka sehingga pusingan terakhir apabila merekodkan lapan kemenangan berturut-turut.

KSBC tidak berdepan masalah menundukkan lawan mereka, Cheras BC (15-2), diikuti kejayaan ke atas Bandar Maharani BC (12-8), semalam. Aksi menentang Bandar Maharani adalah menjadi penentuan bagi gelaran juara musim ini.

“Saya sebenarnya tidak jangka memandangkan kami adalah pasukan yang baru dinaikkan daripada Divisyen 2 ke Divisyen 1. Pemain bekerjasama sepanjang musim pertama kami di Divisyen Satu.


Aksi ayam tambatan Kuantan Synergy BC, Siti Nurshuhaini Azman ketika pusingan akhir AEON Credit Purple League Junior 2019

“Semua pemain menampilkan semangat luar biasa. Walaupun kami budak baru di Divisyen 1, saya beritahu mereka kita juga mampu menjadi juara," kata Azman ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Kejayaan KSBC membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 manakala naib juara, Kepong BC berpuas hati dengan RM20,000. Dalam pada itu, Kelab Badminton Ayer Itam (Ayer Itam BC) yang merekodkan tujuh kemenangan berturut-turut meraih muncul juara Divisyen 2. Kejayaan itu membolehkan mereka menempah tiket automatik ke Divisyen 1 selain hadiah wang tunai RM5,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Purple League , Datuk Jack Koh puas hati terhadap penganjuran edisi kelima tahun ini.

“Badminton masih sukan yang popular di negara ini. Sebanyak 79 perlawanan dilangsungkan membabitkan 22 pasukan daripada Divisyen 1, 2 dan 3 yang baru diperkenalkan musim ini," katanya.

Berita Harian X