Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:09pm
ANDY Murray selepas merangkul gelaran ATP pertama.

Murray bangga menang selepas dua tahun

ANTWERP (Belgium): Andy Murray berkata dia ‘sangat gembira’ selepas merangkul gelaran ATP pertama sejak Mac 2017 pada awal pagi ini dengan kejayaan 3-6, 6-4, 6-4 mengatasi juara tiga kali Grand Slam, Stan Wawrinka di final Antwerp.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang hampir bersara awal tahun ini berikutan pembedahan pinggul yang dilakukannya, kembali bangkit selepas ketinggalan 3-1 untuk menjulang gelaran ke-46 dalam kariernya.

“Ia sangat bermakna. Beberapa tahun kebelakangan ini adalah sangat sukar buat saya,” kata Murray yang kelihatan menitiskan air mata selepas tamat perlawanan.

“Bagi saya dan Stan kami mempunyai banyak masalah kecederaan dalam beberapa tahun ini.

“Ia adalah mengagumkan dapat kembali semula, bermain menentangnya di final. Saya rasa ia adalah perlawanan hebat.”

“Saya sendiri tak menjangkakan berada di kedudukan sekarang. Saya gembira, sangat gembira,” kata Murray yang merosot ke kedudukan 243 dunia.

Murray muncul juara ATP yang mempunyai ranking terendah sejak Pablo Andujar berada di ranking 355 dunia dengan kejayaan di Terbuka Marrakesh.

“Saya menikmati minggu saya di sini. Suasana pada beberapa hari lalu juga mengagumkan,” kata Murray.

“Saya sangat berbangga dengan kemenangan minggu ini.”

Wawrinka, juga yang memburu gelaran pertama dalam tempoh dua tahun, turut memuji lawannya yang pada Januari lalu mengalami kecederaan pinggul. – AFP

Berita Harian X