Ahad, 20 Oktober 2019 | 6:53pm
Fazriq turut dilihat berpotensi dalam acara perseorangan apabila turut meraih gelaran di pentas antarabangsa termasuklah di Terbuka Remaja Antarabangsa Jakarta 2018. - Arkib NSTP

Fazriq sememangnya jelmaan Razif

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj percaya pemain remaja, Mohd Fazriq Razif lebih sesuai bermain acara beregu berbanding perseorangan.

James yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara turut merasakan sudah tiba masanya anak kepada legenda badminton tanah air, Datuk Razif Sidek itu membuat keputusan bagi memilih acara diinginkannya.

"Kamu tidak boleh bermain acara perseorangan dan beregu dalam satu masa kerana sukar untuk fokus. Lagipun, kedua-dua acara ini pukulannya berbeza.

"Bagi saya, permainannya lebih sesuai dengan beregu dan saya lihat permainan dia sama seperti bapanya. Jadi, lebih baik dia teruskan bermain dalam acara beregu. Namun, dia perlu mencari pasangan sesuai dengannya," kata James kepada BH Sukan.

Ketika ini, pemain berusia 15 tahun itu berpasangan dengan Justin Hoh Shou Wei sejak 2017 dan berjaya merangkul beberapa gelaran antarabangsa seperti Terbuka Remaja Antarabangsa Jakarta 2018, Kejohanan Remaja Asia Bawah 15 Tahun (B-15) 2018 dan Siri Antarabangsa Remaja Singapura 2018.

Tahun ini, mereka muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia.

Bagaimanapun, Fazriq seharusnya berada dalam dilema apabila dia turut dilihat berpotensi dalam acara perseorangan apabila turut meraih gelaran di pentas antarabangsa termasuklah di Terbuka Remaja Antarabangsa Jakarta 2018.

James berkata, penting buat Fazriq untuk menentukan hala tuju kerjayanya secepat mungkin bagi membolehkan dia memberi fokus sepenuhnya.

"Usianya bakal memasuki 16 tahun pada tahun depan dan tempoh dua tahun sebelum dia memasuki usia 18 adalah sangat penting. Jadi, dia perlu buat keputusan sekarang.

"Sebagai contoh, Rudy Hartono (bekas pemain perseorangan lelaki Indonesia) menjuarai Seluruh England pertamanya pada usia 18 atau 19 tahun. Jika Fazriq buat keputusan sekarang dan terus bekerja keras, dia mungkin boleh meraih pencapaian seperti itu.

"Jika negara lain boleh ada pemain muda yang menjadi juara kejohanan besar, kenapa tidak kita? Semua kemudahan kita sudah ada termasuklah akademi badminton," katanya.

Berita Harian X