Sabtu, 19 Oktober 2019 | 7:00pm
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh. - NSTP/Owee Ah Chun

BAM cari pengarah teknikal baharu

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini sedang mencari calon sesuai bagi menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal skuad remaja negara.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata badan induk itu merasakan penting melantik individu yang layak bagi mengetuai program pembangunan peringkat remaja. 

“Kami memang mempertimbangkan mengenai perkara itu (melantik pengarah teknikal) dan sedang mencari calon paling layak. Kami tidak mahu hanya mempertimbangkan seorang calon sebaliknya kami mahu cari yang benar-benar layak.

“Sebab itu, kami tidak mahu terburu-buru. Negara seperti China dan Korea Selatan turut memiliki pengarah teknikal bagi program remaja,” kata Kenny yang juga Pengerusi Jawatankusa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

Keputusan BAM itu dilihat hadir tepat pada masanya susulan kemerosotan prestasi pemain muda negara terutama selepas gagal membawa pulang sebarang pingat pada Kejohanan Remaja Asia di China dan Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia tahun ini.

BAM menjangkakan perancangan bagi menghimpunkan pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara mampu dilaksanakan awal tahun depan.

Kenny juga tidak menolak kemungkinan struktur kejurulatihan skuad remaja bakal dirombak sekiranya ia didapati menjadi punca kemerosotan prestasi pemain muda negara ketika ini.

“Kami akan membuat analisis mengenai puncanya (kemerosotan prestasi pemain muda) dan semua faktor akan diambil kira. Jika faktor jurulatih menjadi punca, sudah pasti kami akan buat rombakan,” katanya.

Berita Harian X