Sabtu, 19 Oktober 2019 | 6:47pm
Pemain beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka biarpun terkandas di suku akhir Terbuka Denmark, awal pagi tadi. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Keracunan makanan beri kesan pada Peng Soon-Liu Ying

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka biarpun terkandas di suku akhir Terbuka Denmark, awal pagi tadi.

Peng Soon-Liu Ying gagal ke separuh akhir selepas tewas di tangan pilihan kelima dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung 18-21, 18-21.

Liu Ying berkata, mereka tidak berada pada tahap terbaik dan tidak meletakkan harapan tinggi selepas Peng Soon mengalami keracunan makanan sebelum kejohanan bermula.

“Sebenarnya, kami tidak berada pada tahap prestasi terbaik dalam kejohanan ini, kami hanya mahu melakukan yang terbaik. Sebelum kejohanan, Peng Soon mengalami keracunan makanan dan itu menjejaskan persiapan kami.

“Jadi, kami tidak meletakkan harapan yang tinggi. Namun, saya fikir kami bermain dengan baik biarpun terpaksa berdepan dengan situasi seperti ini termasuklah perlawanan semalam (awal pagi tadi).

“Diharapkan kami mampu meningkatkan lagi prestasi untuk menghadapi kejohanan seterusnya,” kata Liu Ying kepada BH Sukan.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu akan mengalihkan fokus mereka menghadapi saingan Terbuka Perancis bermula Selasa ini.

Bagaimanapun, nasib kurang baik buat pilihan kelima kejohanan di Paris itu apabila membuka tirai kempen menentang rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pusingan pertama.

“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar apabila bertemu rakan senegara, kami sudah tahu corak permainan masing-masing. Kami harap boleh memberikan yang terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Liu Ying.

Berita Harian X