Sabtu, 19 Oktober 2019 | 8:26am
Gambar fail, aksi Andy Murray ketika menentang Pablo Cuevas pada pusingn kedua ATP Terbuka Europa Antwerp, kelmarin. - Foto AFP

Murray tamatkan badi separuh akhir

ANTWERP: Bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray mara buat kali pertama ke pentas separuh akhir sejak Terbuka Perancis 2017 dengan kemenangan ke atas pemain Romania, Marius Copil di Antwerp, di sini, sebentar tadi.0

Bintang Britain berusia 32 tahun itu, yang dalam fasa membina semula kariernya selepas menjalani pembedahan pinggul pada awal tahun ini menewaskan Copil 6-3, 6-7 (7/9), 6-4.

"Saya berasa okey. Ia mengenai bagaimana anda bersiap menghadapi hari seterusnya," kata Murray yang dipisahkan dua kemenangan lagi daripada gelaran sulungnya sejak Dubai pada Mac 2017.

"Apa yang bagusnya mengenai kejohanan dalam dewan ia lebih pendek perlawanannya jadi tidak perlu mengerah tenaga yang banyak seperti gelanggang luar."

Murray, yang kini menghuni kedudukan ranking ke-243 dunia, mempunyai peluang awal untuk menamatkan aksi sebentar tadi selepas mendahului dalam mata penentuan di set kedua.

Bagaimanapun, dia hanya dapat mengesahkan kemenangan selepas lebih dua jam setengah bertungkus lumus untuk mengekalkan rekod kemenangan kali ketiga ke atas Copil.

Murray seterusnya akan bertemu pemain ke-70 dunia dari Perancis, Ugo Humbert yang mengetepikan pilihan kelima dari Argentina, Guido Pella 5-7, 6-4, 6-4.

Pemain Itali, Jannik Sinner muncul pemain termuda mara ke separuh akhir dalam tempoh lima tahun ATP apabila menumpaskan pemain Amerika Syarikat, Frances Tiafoe 6-4, 3-6, 6-3.

Dan menanti Sinner dalam satu lagi aksi separuh akhir adalah juara tiga gelaran utama Stan Wawrinka yang mengatasi Gilles Simon dari Perancis 6-3, 6-7 (6/8), 6-2 di suku akhir. - AFP

Berita Harian X